Anggota polis ditikam janda muda menggunakan kerambit



SUNGAI PETANI - Seorang anggota polis trafik cedera ditikam kekasih berusia 19 tahun di rumahnya di Bandar Sri Astana D Park Home, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara mengalami kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan kekasihnya yang berpunca daripada perasaan cemburu.

Pertelingkahan itu menyebabkan kekasih yang merupakan seorang janda bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerambit di bilik tidur rumah berkenaan.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh penduduk taman perumahan berkenaan manakala teman wanitanya ditahan anggota Balai Polis Komuniti Bandar Puteri Jaya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, janda itu sendiri menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Kuala Muda memaklumkan dia menikam anggota polis menggunakan pisau.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang duda mengenali janda itu sejak Februari lalu dan percintaan mereka terputus pada Mei tahun lepas namun berbaik semula sejak dua minggu lalu.

“Pada hari kejadian, didapati berlaku selisih faham antara mereka kerana janda itu terlihat gambar dan mesej daripada bekas isteri mangsa di telefon bimbit mangsa.

“Janda itu menuduh mangsa menipunya dan bertindak menikam lelaki berkenaan menggunakan sebilah pisau kerambit,” katanya.

“Mangsa kini dirawat di hospital itu akibat kecederaan di bahagian kepala, tepi perut, lengan dan bahu.

“Manakala suspek direman sehingga 17 Januari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan,” katanya - Sinar Harian


0 Response to "Anggota polis ditikam janda muda menggunakan kerambit"

Post a Comment